Terma Rujukan NGO
PENYERTAAN BADAN-BADAN BUKAN KERAJAAN (NGOs) DALAM PELAKSANAAN PROGRAM PENANAMAN POKOK BAKAU DAN SPESIES-SPESIES YANG SESUAI DI PESISIRAN PANTAI NEGARA
PENDAHULUAN
Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) Kerajaan telah bersetuju meluluskan peruntukan (siling) berjumlah RM40 juta bagi melaksanakan Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies Yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara. Peruntukan tersebut adalah untuk melaksanakan kerja-kerja penanaman pokok di pesisiran pantai dan menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Pelaksanakan program tersebut akan dijayakan oleh Pasukan Petugas Khas Jawatankuasa Operasi Menanam Pokok Bakau dan Spesies-spesies Yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara (Pasukan Petugas) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE). Pasukan Petugas ini disokong oleh dua (2) Jawatankuasa Teknikal iaitu:(a) Jawatankuasa Teknikal Mengenai Perancangan dan Pelaksanaan (JTPP) yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM); dan (b) Jawatankuasa Teknikal Mengenai Penyelidikan dan Pembangunan (JTR&D) yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
Usaha bagi perlindungan, pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan di pesisiran pantai adalah satu langkah jangka panjang yang memerlukan usaha bersepadu yang berterusan. Untuk itu, program-program kesedaran awam mengenai kepentingan hutan pesisiran pantai dan penglibatan penduduk tempatan bagi menyokong program penanaman tersebut akan ditingkatkan.
OBJEKTIF
Penyertaan pihak Badan-badan Bukan Kerajaan tempatan (NGOs) adalah bagi melibatkan lebih ramai penduduk tempatan yang tinggal di pesisiran pantai untuk turut serta dalam program penanaman pokok bakau di samping dapat meningkatkan kesedaran awam melalui beberapa pendekatan yang diketengahkan seperti aktiviti pendidikan, latihan, tapak model demonstrasi dan program ’Sahabat Hutan Bakau/Mangrove Rangers’ yang disertai oleh penduduk tempatan.
Objektif utama program penanaman pokok bakau dan spesies-spesies lain yang sesuai di pesisiran pantai adalah antara lain:(a) bertujuan supaya dalam jangka masa panjang, kawasan pesisiran pantai akan menjadi lebih stabil bagi mengelak dan mengurangkan tahap kemusnahan akibat berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti ombak besar dan hakisan pantai; (b) mewujudkan satu kawasan zon penimbal yang kukuh dan stabil di kawasan yang mengalami hakisan di tahap serius supaya dapat menghindar sebarang keperluan dan perbelanjaan kerja-kerja perlindungan pantai yang mahal di masa hadapan; dan (c) mewujudkan suatu kawasan Hutan Paya Laut di pesisiran pantai yang menjadi habitat penting kepada biodiversiti termasuk hidupan marin dan organisma kecil yang lain.
PERMOHONAN DAN KELULUSAN PROJEK
Permohonan projek adalah sama seperti amalan permohonan projek-projek pembangunan di bawah RMKe-9. Badan-badan bukan kerajaan tempatan (NGOs) diperlu mengemukakan permohonan melalui JTPP sebelum dikemukakan untuk pertimbangan dan kelulusan Pasukan Petugas.
NGOs perlu menyediakan kertas cadangan yang lengkap yang meliputi aspek-aspek berikut:i. tajuk projek ii. maklumat organisasi iii. fungsi dan peranan pertubuhan iv. pegawai bertanggungjawab terhadap projek v. objektif projek vi. pendekatan projek vii. senarai aktiviti yang akan dijalankan viii. kaedah/teknik yang akan digunakan ix. lokasi, status dan luas kawasan projek x. penglibatan masyarakat dan komuniti xi. carta rancangan kerja dan anggaran perbelanjaan
Keperluan kewangan bagi projek yang akan dilaksanakan perlu dinyatakan dengan jelas bagi setiap aktiviti yang hendak dijalankan. Cadangan keperluan kewangan akan dibincang dan dipertimbang di peringkat JTPP dan seterusnya diluluskan oleh Pengerusi Pasukan Petugas selaku pegawai pengawal projek RMKe-9.
KRITERIA PEMOHON
Mana-mana pihak yang berminat untuk melaksanakan Projek Penanaman Pokok Bakau Dan Spesies-Spesies Yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara perlulah memenuhi kriteria-kriteria seperti berikut:i. Badan-badan bukan kerajaan yang berdaftar di Malaysia; ii. Mempunyai pengalaman dalam melaksanakan projek-projek alam sekitar; iii. Mempunyai keupayaan kewangan dan tenaga kerja pakar yang mencukupi bagi melaksanakan projek yang dilaksanakan; iv. Mempunyai komitmen yang tinggi untuk berkerjasama dengan Kerajaan di dalam melaksanakan projek secara bersama; dan v. Projek yang akan dilaksanakan bukan bermatlamat untuk memperolehi keuntungan atau aktiviti ekonomi yang lain.
PELAKSANAAN PROJEK
Projek yang akan dilaksanakan adalah projek kerjasama di antara Kerajaan melalui Jabatan dan Agensi yang berkaitan dengan pihak NGO tempatan. NGO yang terlibat adalah pihak yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kemajuan projek dan perbelanjaan peruntukan bagi tempoh yang ditetapkan.
Peruntukan yang diluluskan tidak boleh digunakan untuk membiayai aktiviti-aktiviti, diantaranya seperti berikut:i. Pembinaan, penyelanggaran infrastruktur kekal/kukuh seperti jeti, bangunan, pembinaan denai dan sebagainya. ii. Pembelian jentera, kenderaan dan aset kekal. iii. Pelaksanaan R&D. iv. Pembayaran emolumen untuk kakitangan, juruperunding dan perkara-perkara melibatkan kos pentadbiran. v. Penerbitan yang tidak termasuk dalam skop projek. vi. Bayaran penginapan dan elaun untuk peserta-peserta kursus.
Fungsi/Tanggungjawab NGOs:i. Melibatkan masyarakat tempatan dalam melaksanakan projek-projek yang dicadangkan bagi meningkatkan kesedaran dan pendidikan mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan pesisiran pantai. ii. Mengenalpasti kawasan yang sesuai yang mengambilkira lokasi, status tanah dan penyediaan peta kawasan. iii. NGO perlu menyelaraskan projek dengan keupayaan tenaga kerja dan peruntukan kewangan. iv. NGO bertanggungjawab menyediakan dan mengemukakan laporan kemajuan projek (Laporan Fizikal dan Kewangan) kepada Sekretariat Tanaman Pokok Pesisiran Pantai Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM). Laporan ini juga akan dibentangkan di mesyuarat JTPP (JPSM) dan Pasukan Petugas Khas (NRE). v. NGO juga bertanggungjawab memastikan kejayaan projek dan projek ini juga perlu diserahkan semula kepada pihak Kerajaan (melalui agensi pelaksana) setelah tamat tempoh projek. vi. Mana-mana aktiviti publisiti dan penerbitan yang berkaitan dengan projek ini hendaklah dimaklumkan kepada pihak NRE.
Fungsi/Tanggungjawab Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia:i. Menerima dan meneliti kertas-kertas cadangan daripada NGOs dan memanjangkan cadangan tersebut kepada NRE. ii. Menyalurkan sejumlah peruntukan yang diluluskan oleh Pengerusi Pasukan Petugas kepada pihak NGO yang terlibat. iii. Pelaksanaan projek di lapangan akan dipantau oleh Jabatan Perhutanan Negeri yang berkenaan. iv. Menjalankan penilaian dari segi keberhasilan (outcome) dan impak jangka pendek dan jangka panjang selaras dengan Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2005 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri Malaysia bertarikh 24 Ogos 2005. v. Mengambilalih penyelenggaraan projek-projek yang telah disiapkan dengan jayanya oleh NGO. vi. JPSM dan agensi teknikal kerajaan akan memberikan bantuan khidmat teknikal dari masa ke semasa.
Fungsi/Tanggungjawab NRE:i. Menerima dan meneliti kertas-kertas cadangan daripada NGOs yang disampaikan melalui JTPP. ii. Mempertimbangkan dan meluluskan cadangan projek dari NGOs termasuk menetapkan jumlah peruntukan yang akan disalurkan. iii. Memaklumkan kelulusan projek yang dipohon kepada JPSM dan pihak NGOs.
URUSAN PEMBIAYAAN DAN PEMBAYARAN PROJEK
Kaedah perbelanjaan dan pembayaran ke atas projek-projek yang akan dilaksanakan oleh pihak NGO yang berkenaan adalah selaras dengan kaedah yang akan ditentukan oleh pihak Perbendaharaan Malaysia.
JPSM selaku agensi pelaksana projek, akan menyalurkan sejumlah peruntukan yang telah diluluskan oleh KSU NRE selaku Pengerusi Pasukan Petugas kepada pihak NGOs yang berkenaan. Pembayaran kepada NGO akan dibuat menggunakan cek berdasarkan jumlah yang telah diluluskan dan/atau mengikut kaedah pembayaran yang difikirkan sesuai bagi melancarkan pelaksanaan projek.