Terma Rujukan Pasukan Petugas Khas
PASUKAN PETUGAS KHAS JAWATANKUASA OPERASI MENANAM POKOK-POKOK BAKAU DAN SPESIES-SPESIES YANG SESUAI DI PERSISIRAN PANTAI NEGARA
LATAR BELAKANG
Pada 26 Disember 2004, bencana ombak besar atau Tsunami telah melanda kawasan di persisiran pantai di Sumatera, Sri Lanka, India, Thailand, Myanmar, Somalia, Maldives dan kawasan utara Semenanjung Malaysia. Kesan daripada bencana Tsunami tersebut, ribuan nyawa telah terkorban dan banyak harta benda telah mengalami kemusnahan.
Susulan daripada bencana Tsunami, Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia menyarankan kepentingan perlindungan, pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan Hutan Paya Laut di persisiran pantai negara. Sehubungan dengan itu, satu ‘Pasukan Petugas Khas Jawatankuasa Operasi Menanam Pokok-Pokok Bakau Dan Spesies-Spesies Yang Sesuai di Persisiran Pantai Negara’ ditubuhkan untuk mengawalselia program penanaman pokok-pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai di kawasan persisiran pantai negara.
OBJEKTIF
Objektif penubuhan ‘Pasukan Petugas Khas Jawatankuasa Operasi Menanam Pokok-Pokok Bakau Dan Spesies-Spesies Yang Sesuai di Persisiran Pantai Negara’ adalah untuk:(a) menubuhkan sebuah Pusat Pengurusan Hutan Paya Laut dengan kerjasama Kementerian-Kementerian yang berkaitan; (b) menetapkan jenis pokok-pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai untuk ditanam di persisiran pantai sebagai satu kaedah melindungi, memelihara dan memulihara ekosistem pinggir pantai dan marin; (c) memantau kemajuan pelaksanaan program penanaman pokok-pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai bagi memaksimumkan penggunaan tanah dan mengurangkan impak bencana alam di kawasan persisiran pantai; (d) mengenalpasti kumpulan sasaran yang mendapat faedah daripada pelaksanaan program penanaman pokok bakau seperti nelayan, pengusaha arang kayu, pemilik pusat pelancongan di tepi pantai dan sebagainya; (e) menggalakkan lebih banyak penyertaan oleh sektor swasta, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan dalam aktiviti perlindungan, pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem pinggir pantai; serta (f) sebagai penasihat kepada Menteri mengenai hal-hal berkaitan program penanaman pokok-pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai di Malaysia.
FUNGSI
Fungsi Pasukan Petugas Khas adalah seperti berikut:
(a) Mengawalselia dan meninjau kemajuan pelaksanaan program penanaman pokok-pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai di persisiran pantai bagi menentukan keberkesanan pelaksanaannya di lapangan. Antaranya termasuklah: (i) mengenalpasti kawasan yang boleh dibangunkan dan dipulihara dengan pokok bakau atau spesies-spesies yang sesuai. (ii) memastikan sumber bekalan biji benih yang berkualiti dan mencukupi (iii) mengenalpasti pihak-pihak yang terlibat secara langsung dengan program penanaman dan pemuliharaan kawasan Hutan Paya Laut. (iv) mengenalpasti teknologi terkini yang boleh digunakan untuk melaksanakan aktiviti penanaman pokok-pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai di persisiran pantai. (b) Menyediakan laporan lengkap kepada Menteri mengenai status program penanaman pokok-pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai di persisiran pantai di Malaysia khususnya berkaitan dengan pelaksanaannya.
KEAHLIAN
Keanggotaan ‘Pasukan Petugas Khas Jawatankuasa Operasi Menanam Pokok-pokok Bakau dan Spesies-Spesies Yang Sesuai di Persisiran Pantai Negara’ adalah seperti berikut:(a) Pengerusi : Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE). (b) Urusetia: Bahagian Pembangunan Perhutanan, NRE. (c) Ahli-ahli: 1.Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. 2.Bahagian Konservasi dan Pengurusan Alam Sekitar, NRE. 3.Bahagian Perancangan Korporat, NRE. 4.Kementerian Kewangan Malaysia. 5.Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. 6.Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi. 7.Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri. 8.Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM). 9.Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). 10.Jabatan Perhutanan Sabah. 11.Jabatan Perhutanan Sarawak. 12.Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD). 13.Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG). 14.Jabatan Perikanan Malaysia. 15.Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). 16.Jabatan Mineral dan Geosains (JMG). 17.Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan (NAHRIM). 18.Pusat Remote Sensing Negara (MACRES). 19.Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM). 20.Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). 21.Stesyen Penyelidikan Marin, Pusat Pengajian Kajihayat, Universiti Sains Malaysia (USM). 22.Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM). 23.Wetlands International Malaysia. 24.World Wildlife Fund (WWF) Malaysia. 25.Global Environmental Centre (GEC). 26.Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS). 27.Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT). 28.Institut Rimbawan Malaysia (IRIM). 29.Treat Every Environment Special Sdn. Bhd. (TrEES). 30.Sahabat Alam Malaysia (SAM). 31.Business Council for Sustainable Development Malaysia. 32.Persatuan Kawalan Hakisan Antarabangsa Malaysia (IECAM). Jabatan/agensi lain yang berkaitan boleh dijemput mengikut keperluan bagi menghadiri mesyuarat dari masa ke semasa.
KEKERAPAN MESYUARAT
‘Pasukan Petugas Khas Jawatankuasa Operasi Menanam Pokok-pokok Bakau dan Spesies-Spesies Yang Sesuai di Persisiran Pantai Negara’ akan mengadakan mesyuarat sebulan sekali.
PENYELARASAN AGENSI-AGENSI
(a) Jawatankuasa Teknikal Mengenai Perancangan dan Perlaksanaan (dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JPSM). (b) Jawatankuasa Teknikal Mengenai Penyelidikan dan Pembangunan (dipengerusikan oleh Ketua Pengarah FRIM).