-
Bagaimana hutan bakau di Sabah dan Sarawak, adakah pin holes death berlaku di sana dan berapa banyak kawasan yang terlibat?
Setakat ini, tidak ada berlaku pin holes death di kawasan penanaman di Sarawak.
-
Apakah fungsi hutan paya laut kepada ekosistem dan apa hasil yang boleh kita ambil dari hutan paya laut?
Selain kayu arang, fungsi dan hasil lain yang boleh dimanfaatkan seperti berikut:
- kawasan seed bank;
- kawasan penyimpanan Karbon (carbon stock);
- zon penampan ombak bagi mengurangkan hakisan pantai;
- habitat hidupan ; dan
- kawasan pelancongan
-
Adakah program-program perancangan pantai seperti e-persisir dan sebagainya masih berjalan sehingga sekarang? terutama dari segi data pemetaan yang terkini dan proses mengemaskini data bagi membolehkan perancangan yang mampan.
Sistem ePesisir masih digunakan sehingga sekarang oleh Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri dalam merancang aktiviti penanaman dan rawatan/penyelenggaraan. Perancangan ini menggunakan imej terkini oleh MYSA.
-
Berapa jumlah kos yang dibelanjakan dlm penanaman sehingga ini dan bagaimana keadaan pokok-pokok yg ditanam samada memenuhi sasaran pembesaran dan lain-lain. Adakah Jabatan berpuas hati di atas pencapaian sehingga ini dan apakah lagi innovasi yang boleh di perkenalkan dalam usaha ini.
Sejumlah 57.8 juta telah dibelanjakan bagi memelihara dan memulihara kawasan pesisiran pantai melalui Program Penanaman Pokok Bakau Dan Spesies Yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara. Berdasarkan laporan Kajian Outcome yang telah dijalankan pada tahun 2013, peratus kehidupan bagi kawasan penanaman adalah 80%. Walaubagaimanapun , kajian outcome baru akan dibuat bagi menilai keberkesanan dan melihat pembesaran pokok. Kajian outcome sedang berjalan dan dijangka siap pada tahun hadapan.
-
Bagaimana cara pemandu-pemandu pelancong di MMF menyertai CEPA
Untuk menjalankan aktiviti penanaman, boleh berhubung dengan Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri.
-
Adakah bakau akan ditanam di tempat lain di Sarawak seperti Bintulu dan Miri pada masa depan?
Program penanaman bakau dan spesis sesuai di pesisir pantai negeri memang melibatkan keseluruhan kawasan yang sesuai seluruh Negeri termasuk Bintulu dan Miri. Di Bintulu contohnya, kita mempunyai kawasan penanaman di Kuala Nyalau dan Similajau. Manakala di Miri adalah di Kuala Niah dan Kuala Sibuti.
-
Adakah jabatan hutan sarawak ada buat taklimat kesedaran kepada penduduk kampung berkenaan kepentingan hutan paya bakau/laut kepada masyarakat. Kes di Kampung Bako (Sarawak), hakisan tebing sungai menjadi serius apabila pokok-pokok bakau di sepanjang sungai ditebang untuk tujuan perluasan kediaman.
Program kesedaran yang telah diadakan di Pesisiran Kampung Pasir Putih, Selabat pada tahun 2010 turut melibatkan komuniti daripada Kampung Bako. Pihak Jabatan mengambil maklum dengan cadangan Tuan dan kita akan masukkan dalam program kesedaran akan datang setelah keadaan pandemik Covid-19 reda.
-
Adakah tersedia perancangan secara mendalam selain daripada polisi dalam Rancangan Fizikal Negara (RFN), iaitu penglibatan komuniti setempat dalam penjagaan dan pemantauan hutan paya laut?
Ya. Rancangan Fizikal Zon Persisiran Pantai Negara-2 atau RFZPPN-2 merupakan pelan induk sektoral kepada Rancangan Fizikal Negara. RFZPPN-2 bermatlamat menguruskan sumber jaya persisiran pantai yang optimum ke arah pembangunan mampan, kelangsungan sosio-ekonomi dan kelestarian alam sekitar. Dasar ini telah menggariskan empat (4) teras utama iaitu, i) Pembangunan Berdaya Tahan Terhadap Risiko Bencana, ii) Aset Ekologi dan Perkhidmatan Ekosistem Lestari, iii) Tadbir Urus Kukuh dan Efektif serta iv) Komuniti Peka dan Berupaya Ikhtiar. Teras ini disokong oleh 16 strategi, 34 tindakan dan 84 inisiatif yang meliputi segenap aspek perancangan risiko geobencana, ciri fizikal muka bumi, aset biodiversiti dan aktiviti sosio-ekonomi bagi kawasan persisiran pantai. Salah satu tindakan penting yang diperincikan adalah melalui Tindakan KD 2.2 iaitu Menggalakkan penglibatan komuniti dalam kerja-kerja pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar serta memperkasakan program kawasan perlindungan komuniti atau community conserved area (CCA). Antara contoh komuniti yang mengamalkan CCA adalah Kelab Alami Tanjung Kupang, Johor yang melatih para pemuda dan nelayan sebagai pakar tempatan dalam memberi panduan, perlindungan dan memantau habitat paya laut dan rumput laut.
-
Bagaimana cara untuk mendapatkan ke semua sumber rujukan yang ditunjukkan dalam slide pembentangan pihak PlanMalaysia?
Semua sumber rujukan ini boleh dimuat turun melalui pautan Portal MyPLAN : https://myplan.planmalaysia.gov.my/www/
-
Adakah kadar peningkatan paras air laut diambil kira dalam perancangan negara terutama sekali dalam penyediaan RFZPPN?
Ya, kadar peningkatan paras air laut diambil kira dalam perancangan negara terutama sekali dalam penyediaan RFZPPN-2. RFZPPN-2 telah mengenalpasti ancaman-ancaman yang mempengaruhi risiko bencana terhadap manusia serta aset ekologi negara seperti kenaikan paras air laut. RFZPPN-2 telah merujuk Kajian Pemodelan oleh NAHRIM (2019) mengenai kenaikan paras air laut di sepanjang persisiran pantai Malaysia dengan menggunakan kaedah ‘bath-tub fill’ iaitu pengukuran bacaan unjuran di stesen-stesen tolok pasang surut pada tahun 2030, 2050 dan 2100.
-
Pembangunan dan pewartaan keluar kawasan hutan paya laut yang tidak diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal adakah boleh dibuat tanpa sebarang kawalan?
Secara umum, pembangunan dan pewartaan keluar kawasan hutan paya laut yang tidak diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal tidak boleh dibuat tanpa sebarang kawalan Salah satu langkah kawalan yang dicadangkan oleh RFZPPN-2 melibatkan kawasan hutan simpanan yang tidak diwartakan adalah perlu dikenalpasti di peringkat Rancangan Struktur Negeri dan Rancangan Tempatan Daerah. Kedua-dua dokumen ini merupakan satu kaedah kawalan perancangan kerana perlu diwartakan mengikut Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172). Oleh itu, sebarang pembangunan yang melibatkan kawasan hutan simpanan kekal yang tidak diwartakan perlu melalui pelbagai peringkat kelulusan di pihak berkuasa tempatan seperti Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat atau Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri mengenai perkara yang berhubungan dengan pemuliharaan, penggunaan dan pemajuan tanah dalam Negeri tersebut.
-
Apakah dan siapakah Pihak/agensi yang perlu memantau pelaksanaan RFZPPN?
Kawasan persisiran pantai ditadbir oleh agensi-agensi yang berbeza dalam ruang lingkup perancangan dan pelaksanaan. RFZPPN-2 telah mengenalpasti agensi pelaksana utama iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN). Pada masa yang sama, Pihak Kerajaan Persekutuan, Pihak Berkuasa Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan perlu bersama-sama menjadi pihak yang akan memantau pelaksanaan dokumen RFZPPN-2 ini.
-
Bagaimanakah boleh kami dapatkan buku-buku mengenai hutan paya bakau?
Buku-buku mengenai hutan paya bakau boleh didapati dalam pelbagai sumber seperti melalui laman sesawang JPSM iaitu, www.forestry.gov.my , pusat sumber JPSM, malahan bahan cetakan ini juga boleh diperolehi melalui Seksyen Pemuliharaan Pesisiran Pantai, Bahagian Ladang Hutan & Perlindungan Hutan, JPSM. Selain itu juga, sekiranya mana-mana pihak yang memerlukan buku atau bahan cetakan yang berasaskan kajian, bahan tersebut boleh di dapati di Pusat Sumber Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) atau pusat jualannya.
-
Adakah pihak Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia mempunyai peranan dalam pemeliharaan kawasan hutan paya laut?
Pihak Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah mengamanahkan kepada JPSM untuk melaksanakan Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies Lain Yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara semenjak dari tahun 2005 iaitu selepas kejadian tsunami pada 25 Disember 2004. Di bawah JPSM terdapat satu bahagian iaitu Bahagian Ladang Hutan dan Perlindungan Hutan (BLH) yang akan melaksanakan aktiviti penanaman ini melalui Seksyen Pemuliharaan Pesisiran Pantai. Selain aktiviti penanaman di kawasan hutan paya laut, penanaman bagi kawasan hutan pesisiran pantai yang lain turut di beri perhatian seperti penanaman pokok rhu, ketapang, nipah dan sebagainya. Dengan mengambil kira zon pesisiran pantai iaitu 5km kedarat, jabatan ini akan mengenalpasti setiap tahun lokasi-lokasi yang sesuai di tanam bagi memastikan pesisiran pantai Negara terus terlindung daripada mengalami hakisan.
Selain itu, dengan peruntukan yang disediakan oleh kerajaan persekutuan pada setiap tahun, program ini telah mendapat sokongan dan bantuan teknikal daripada kepakaran dalam bidang sains dan teknologi, seperti kajian dan penyelidikan penanaman secara inovatif, dan penggunaan teknologi satelit dengan kerjasama pihak MYSA. Pada setiap tahun juga, JPSM akan menyalurkan peruntukan kepada Jabatan Perhutanan Negeri untuk meneruskan aktiviti penanaman dan rawatan. Selain itu, peruntukan juga diagihkan kepada pihak NGO untuk memastikan kesedaran masyarakat dapat dipupuk secara optimum melalui kempen-kempen dan latihan yang dilaksanakan oleh NGO kepada masyarakat sekitarnya. Sehingga kini JPSM mempunyai sebanyak 12 NGO yang telah berdaftar dengan pihak kerajaan. -
Apakah sumbangan yang boleh masyarakat berikan kepada pihak berkuasa dalam memastikan kawasan hutan terus terpelihara khususnya hutan paya laut atau hutan pantai yang lain?
Antara sumbangan yang boleh diberikan oleh masyarakat dalam menunjukkan keperihatinan dan sebagai tanda sokongan kepada kerajaan adalah melalui kesedaran dalam diri seperti, melibatkan diri dalam aktiviti penanaman, menyemat dalam diri semangat cintakan hutan, tidak membuang sampah di kawasan paya laut dan pesisiran pantai, tidak memusnahkan infra-infra yang dibangunkan di sekitar kawasan hutan paya laut/kawasan pantai/kawasan tapak penanaman dan sebagainya. Selain itu juga, sesetengan organisasi/individu/kelompok boleh membantu kerajaan dengan mengajak masyarakat sekitar untuk sama-sama melaksanakan aktiviti gotong royong ataupun penanaman.
-
Adakah kemungkinan keluasan tanah sepanjang pesisiran pantai kita akan terus menyusut akibat daripada hakisan pantai yang berlaku?
Sekiranya kita tidak mempunyai rasa tanggungjawab, kemungkinan besar kita akan mengalami penyusutan kawasan bertanah di sepanjang pesisiran pantai Negara.