-
Definisi
Hutan paya laut adalah hutan yang terbentuk di kawasan yang berlumpur seperti di pantai, lagun dan muara sungai yang mengalami air pasang surut. Spesies-spesies pokok utama hanya terhad pada habitat ini dan lazimnya bercirikan pembentukan akar unik seperti akar jangkang (spesies bakau) dan pneumatofor iaitu akar udara (spesies Berus, Perepat, Berembang, Gedabu dan Nyireh).
-
Taburan Hutan Paya Laut
Hutan Paya Laut adalah merupakan sejenis hutan yang sangat istimewa kerana kewujudannya yang unik dan mempunyai keluasan yang terhad. Taburan hutan ini boleh didapati di negara-negara Asia, Asia Tengah, Oceania, Afrika, Amerika sehinggalah Kepulauan Caribbean. Ia wujud di pesisiran laut yang berlumpur di negara beriklim tropika dan sub-tropika yang mengalami air pasang dan surut. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh proses berkumpulnya kelodak yang dibawa oleh sungai-sungai yang bercampur dengan pasir laut yang dibantu oleh pukulan ombak laut sehingga membentuk beting-beting cetek yang kemudiannya ditumbuhi oleh spesies pelopor seperti Api-api (Avicennia spp.). Spesies tumbuhan yang terdapat di kawasan hutan paya laut juga adalah terhad bilangannya berbanding dengan spesies yang terdapat di hutan darat asli hujan tropika. Fenomena ini adalah disebabkan oleh beberapa limitasi faktor alam sekitar yang amat berbeza dari hutan darat asli hujan tropika.
Dianggarkan dua pertiga daripada jumlah keluasan hutan paya laut di dunia terletak di Asia dan Oceania. Hutan paya laut di kawasan ini juga mempunyai pertumbuhan paling baik serta kaya daripada segi komposisi spesies. Ini disebabkan hutan jenis ini amat sesuai tumbuh di habitat yang beriklim tropika.
-
Peranan Hutan Paya Laut
Terdapat berbagai peranan penting yang dimainkan oleh hutan paya laut sama ada dari segi sosio-eknomi mahupun terhadap kestabilan ekosistem. Beberapa sumbangan penting yang diperolehi dari hutan paya laut adalah seperti berikut:
- menghasilkan bahan mentah untuk tujuan penghasilan arang kayu, kayu jaras dan kayu api bagi kegunaan tempatan dan juga eksport;
- menghasilkan bahan mentah bagi kegunaan penduduk tempatan seperti kayu untuk bahan binaan serta bahan bakar yang murah; daun Nipah (Nypa fruticans) untuk dibuat atap; batang Nibong (Oncosperma tigillaria) untuk dibuat tiang rumah; kayu pancang untuk aktiviti perikanan kepada nelayan, tanin (dari kulit kayu Bakau) bagi tujuan menjadikan bahan perekat (glue) serta pembuatan cat; dan sebagainya;
- mewujudkan peluang pekerjaan dalam bidang industri arang kayu, kayu jaras dan kayu api terutamanya bagi mereka yang tinggal berhampiran dengan kawasan hutan paya laut serta membuka peluang mata pencarian kepada nelayan yang mana ini merupakan pekerjaan tetap kepada sebahagian besar penduduk tempatan sejak turun temurun;
- mewujudkan kawasan untuk pembangunan aktiviti akuakultur termasuk aktiviti menternak ikan dalam sangkar, menternak kerang, ketam, udang dan sebagainya;
- hutan paya laut juga berperanan sebagai zon penampan bagi mencegah hakisan pantai dan ini amat penting bagi menjamin kestabilan kawasan pesisiran:
- biasanya kawasan baru terbentuk yang letaknya di sea frontier akan ditumbuhi oleh pokok Api-api (Avicennia spp.) yang mempunyai struktur akar istimewa iaitu pneumatofor yang bertindak sebagai akar pernafasan dan sekaligus menjadi sebagai penahan hakisan;
- spesies lain seperti Rhizophora spp., Brugueira spp. dan lain-lain juga mempunyai struktur akar yang sama dan turut bertindak sebagai penahan hakisan; dan
- ombak kuat yang berlaku pada masa-masa tertentu akan mengakibatkan kejadian hakisan tetapi akan segera pulih dengan sendirinya dengan adanya pertumbuhan pokok-pokok baru spesies di atas.
- hutan paya laut merupakan kawasan pembiakan bagi kebanyakan fauna aquatik yang menjadi sumber protein terpenting di negara ini kerana kawasan perairan hutannya yang kaya dengan bahan nutrien yang menjadi sumber makanan utama kepada hidupan laut. (terdapat lebih 28 spesies ikan, 13 spesies crustacea dan lima (5) spesies moluska yang biasa ditangkap oleh nelayan di kawasan berhampiran hutan paya laut);
- hutan paya laut dijadikan habitat oleh banyak hidupan liar seperti beberapa spesies monyet, burung, buaya, babi hutan, ular serta bermacam jenis serangga;
- hutan paya laut berperanan sebagai kawasan penyelidikan, umpamanya hutan paya laut di Matang, Perak yang telah menarik penyelidik-penyelidik dari seluruh dunia untuk melihat dan mengkaji keberkesanan kaedah pengurusan yang diamalkan di sini; dan
- hutan paya laut juga berperanan sebagai kawasan eko-pelancongan, umpamanya hutan paya laut di Kuala Gula, Matang, Perak yang menarik ramai pelancong untuk melihat burung laut yang singgah dalam penghijrahan, sesetengahnya dari Siberia, Rusia sebelum meneruskan migrasi mereka ke Australia dan ke tempat-tempat lain sebelum kembali ke tempat asalnya.