-
Latar Belakang
Pada 26 Disember 2004, bencana ombak besar atau Tsunami telah melanda kawasan di pesisiran pantai di Sumatera, Sri Lanka, India, Thailand, Myanmar, Somalia, Maldives dan kawasan utara Semenanjung Malaysia. Kesan daripada bencana Tsunami tersebut, ribuan nyawa telah terkorban dan banyak harta benda telah mengalami kemusnahan.
Susulan daripada bencana Tsunami, Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia menyarankan kepentingan perlindungan, pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan Hutan Paya Laut di pesisiran pantai negara. Sehubungan dengan itu, satu ‘Pasukan Petugas Khas Jawatankuasa Operasi Menanam Pokok-pokok Bakau dan Spesies-Spesies Yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara’ ditubuhkan untuk mengawalselia program penanaman pokok-pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai di kawasan pesisiran pantai negara.
Pelaksanaan Program Pemeliharaan Dan Pemuliharaan Pesisiran Pantai Negara Yang Berisiko Tsunami dijayakan oleh Pasukan Petugas Khas Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC). Pasukan Petugas ini disokong oleh dua (2) Jawatankuasa Teknikal:
- Jawatankuasa Teknikal Mengenai Perancangan dan Pelaksanaan (JTPP) yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM);
- Jawatankuasa Teknikal Mengenai Penyelidikan dan Pembangunan (JTR&D) yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM); dan
Perlindungan, pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan di persisiran pantai adalah satu langkah jangka panjang yang memerlukan usaha bersepadu yang berterusan. Untuk itu, program-program kesedaran awam mengenai kepentingan hutan persisiran pantai dan penglibatan penduduk tempatan bagi menyokong program penanaman tersebut akan ditingkatkan.
Penglibatan NGO adalah penting untuk bersama-sama mendukung cita-cita dan hasrat murni Kerajaan dalam usaha menggalakkan lebih banyak penyertaan oleh sektor swasta, NGO dan orang perseorangan dalam aktiviti perlindungan, pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem pesisiran pantai seluruh negara.
Di bawah RMKe-9, program ini telah berjaya melibatkan penyertaan aktif NGO dan masyarakat tempatan secara langsung dan tidak langsung semenjak program ini dilaksanakan. Sehingga kini terdapat 11 NGO telah terlibat secara aktif untuk membantu menerapkan konsep kesedaran awam terhadap kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan zon pesisiran pantai negara. Di samping itu, peranan NGO mampu mendekatkan kerajaan dengan masayarakat tempatan melalui beberapa pendekatan seperti aktiviti pendidikan, latihan, tapak model demonstrasi, Sahabat Hutan Bakau/Mangroves Rangers dan lain-lain lagi yang disertai oleh penduduk tempatan. Penyertaan NGO akan diteruskan di masa hadapan.
-
Objektif
Objektif penglibatan NGO dalam program ini adalah:
- menjadi pelengkap kepada mekanisme pelaksanaan program secara bersepadu dalam pelbagai disiplin melalui penglibatan aktif;
- sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat dengan meningkatkan kesedaran dan kefahaman melalui pelbagai pendekatan; dan
- memberi peluang kepada NGO untuk membantu Kerajaan dalam usaha memelihara dan memulihara kawasan pesisiran pantai negara.