Accessibility Tools

  • Latar Belakang

    Pada 26 Disember 2004, bencana ombak besar atau Tsunami telah melanda kawasan di pesisiran pantai di Sumatera, Sri Lanka, India, Thailand, Myanmar, Somalia, Maldives dan kawasan utara Semenanjung Malaysia. Kesan daripada bencana Tsunami tersebut, ribuan nyawa telah terkorban dan banyak harta benda telah mengalami kemusnahan.

    Susulan daripada bencana Tsunami, Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia menyarankan kepentingan perlindungan, pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan Hutan Paya Laut di pesisiran pantai negara. Sehubungan itu, satu ‘Pasukan Petugas Khas Jawatankuasa Operasi Menanam Pokok-pokok Bakau dan Spesies-Spesies Yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara’ ditubuhkan pada Februari 2005 untuk mengawalselia program penanaman pokok-pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai di kawasan pesisiran pantai negara.

    Pelaksanaan program ini merupakan satu tanggungjawab yang mencabar dan berhadapan dengan persekitaran yang dinamik dan berisiko tinggi yang memerlukan perancangan yang rapi, peruntukan kewangan yang besar, teknologi yang bersesuaian, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersepadu serta kesedaran di kalangan masyarakat.  

    Hasil kajian ramalan tsunami di sepanjang lingkaran api Lautan India yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) mendapati beberapa kawasan pesisiran pantai negara berada dalam kategori berisiko tsunami iaitu daripada muara Sungai Kuala Kedah, Kedah hingga ke muara Sungai Dinding, Perak, pesisiran pantai barat Pulau Langkawi dan Pulau Pinang serta beberapa kawasan pesisiran pantai Terengganu dan Johor.

    Dengan mengambilkira hasil kajian tersebut, terdapat keperluan kepada perluasan skop dan hala tuju Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara dan tidak dihadkan kepada aspek penanaman pokok sahaja. Program ini harus diperluaskan kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan pesisiran pantai negara yang berisiko tsunami dengan mengambilkira usaha mengurus, memelihara dan melindungi kawasan Hutan Paya Laut yang sedia ada di seluruh negara dan fokus kepada kawasan pesisiran pantai negara yang berisiko tsunami.

    JTPP dibentuk dibawah Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara.

  • Objektif

    Objektif penubuhan JTPP adalah untuk:

    • menyediakan perancangan dalam merealisasikan penubuhan sebuah Pusat Pengurusan Ekosistem Pesisiran Pantai;
    • mengenalpasti cadangan lokasi pesisiran pantai yang berisiko tsunami untuk program pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan untuk tujuan mewujudkan kawasan zon penampan dan mendapatkan input teknikal mengenai kesesuaian lokasi berkenaan;
    • memantau dan menilai kemajuan fizikal dan kewangan pelaksanaan program penanaman pokok-pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai dan lain-lain mitigasi kawalan bagi mengurangkan impak bencana alam di kawasan pesisiran pantai;
    • mengenalpasti dan mengumpul maklumat mengenai kumpulan sasar yang menerima faedah-faedah daripada pelaksanaan program ini; dan  
    • melibatkan lebih banyak penyertaan oleh sektor swasta, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan dalam aktiviti perlindungan, pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem pesisiran pantai.
  • Fungsi

    Fungsi JTPP adalah sebagai berikut:

    • mengumpul maklumat dan menyediakan kertas kerja mengenai cadangan penubuhan sebuah Pusat Pengurusan Ekosistem Pesisiran Pantai;
    • mengumpul maklumat dan menilai status lokasi/kawasan pesisiran pantai yang berisiko tsunami untuk program pemeliharaan dan pemuliharaan bagi tujuan mewujudkan zon penampan;
    • mengemukakan maklumat mengenai kesesuaian lokasi/kawasan pesisiran pantai yang berisiko tsunami kepada JTRD untuk penilaian dan ulasan;
    • memantau pelaksanaan projek di lapangan dan menyediakan laporan kemajuan fizikal dan kewangan program penanaman pokok-pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai dan lain-lain mitigasi kawalan bagi mengurangkan impak bencana alam di kawasan pesisiran pantai;
    • menyebarluas maklumat secara berterusan mengenai pelaksanaan program bagi menyemai rasa cinta kepada alam sekitar melalui media cetak dan elektronik serta penganjuran latihan, seminar dan kempen kesedaran kepada kumpulan sasar;
    • melaksanakan inventori ekosistem biodiversiti di kawasan yang telah ditanam dan dipulihara;
    • menjalinkan kerjasama pintar (smart partnership) dengan sektor swasta, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan dalam aktiviti perlindungan, pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem pesisiran pantai; dan
    • mengesyorkan kepada Pasukan Petugas Khas untuk Kerajaan Negeri mewartakan kawasan yang telah dipelihara dan dipulihara dilindungi di bawah perundangan sedia ada.  
  • Kekerapan Mesyuarat

    JTPP akan mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya 4 kali setahun atau mengikut keperluan.