Accessibility Tools

  • Latar Belakang

    Pada 26 Disember 2004, bencana ombak besar atau Tsunami telah melanda kawasan di pesisiran pantai di Sumatera, Sri Lanka, India, Thailand, Myanmar, Somalia, Maldives dan kawasan utara Semenanjung Malaysia. Kesan daripada bencana Tsunami tersebut, ribuan nyawa telah terkorban dan banyak harta benda telah mengalami kemusnahan.

    Susulan daripada bencana Tsunami, Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia menyarankan kepentingan perlindungan, pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan Hutan Paya Laut di pesisiran pantai negara. Sehubungan itu, satu ‘Pasukan Petugas Khas Jawatankuasa Operasi Menanam Pokok-pokok Bakau dan Spesies-Spesies Yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara’ ditubuhkan pada Februari 2005 untuk mengawalselia program penanaman pokok-pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai di kawasan pesisiran pantai negara.

    Pelaksanaan program ini merupakan satu tanggungjawab yang mencabar dan berhadapan dengan persekitaran yang dinamik dan berisiko tinggi yang memerlukan perancangan yang rapi, peruntukan kewangan yang besar, teknologi yang bersesuaian, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersepadu serta kesedaran di kalangan masyarakat. 

    Hasil kajian ramalan tsunami di sepanjang lingkaran api Lautan India yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) mendapati beberapa kawasan pesisiran pantai negara berada dalam kategori berisiko tsunami iaitu daripada muara Sungai Kuala Kedah, Kedah hingga ke muara Sungai Dinding, Perak, pesisiran pantai barat Pulau Langkawi dan Pulau Pinang serta beberapa kawasan pesisiran pantai Terengganu dan Johor.

    Dengan mengambilkira hasil kajian tersebut, terdapat keperluan kepada perluasan skop dan hala tuju Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara dan tidak dihadkan kepada aspek penanaman pokok sahaja. Program ini harus diperluaskan kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan pesisiran pantai negara yang berisiko tsunami dengan mengambilkira usaha mengurus, memelihara dan melindungi kawasan Hutan Paya Laut yang sedia ada di seluruh negara dan fokus kepada kawasan pesisiran pantai negara yang berisiko tsunami.

    JTRD dibentuk dibawah Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara.

  • Objektif

    Objektif JTRD adalah seperti berikut:

    • melaksanakan aktiviti-aktiviti R&D bagi menjayakan pelaksanaan program;
    • membantu JTPP dalam menyediakan perancangan untuk merealisasikan penubuhan sebuah Pusat Pengurusan Ekosistem Pesisiran Pantai;
    • memberi khidmat nasihat teknikal dari pelbagai aspek khususnya kesesuaian lokasi/kawasan pesisiran pantai yang telah dicadangkan oleh JTPP;
    • menentukan tahap risiko tsunami di seluruh pesisiran pantai negara;
    • menentukan teknik-teknik yang bersesuaian untuk menjayakan program pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem pesisiran pantai; dan
    • menyebar maklumat mengenai hasil R&D kepada pihak berkepentingan.
  • Fungsi

    Fungsi JTRD adalah seperti berikut:

    • mengenalpasti keperluan dan menjalankan aktiviti-aktiviti R&D yang merangkumi aspek kajian antara lain termasuk;
      • tanah;
      • sedimen terampai;
      • simulasi hidrodinamik pesisiran pantai;
      • teknik dan stok tanaman;
      • Serangan perosak dan penyakit;
      • Struktur mitigasi;
      • Bathymetry (near shore) profil kawasan;
      • Pengukuran arus dan ombak;
    • menetapkan kriteria dan mengesahkan kawasan selamat, berisiko rendah dan berisiko tinggi;
    • membuat unjuran tahap risiko tsunami yang memberi gambaran kemungkinan ancaman keselamatan kepada penduduk pesisiran pantai, sosio ekonomi dan biodiversiti;
    • mengenalpasti senarai keutamaan kawasan-kawasan mengikut tahap berisiko tsunami;
    • menyediakan laporan kemajuan fizikal, kewangan dan pencapaian aktiviti R&D;
    • membantu JTPP dalam menyediakan perancangan untuk merealisasikan penubuhan sebuah Pusat Pengurusan Ekosistem Pesisiran Pantai;
    • memberi khidmat nasihat teknikal hasil daripada penemuan R&D untuk membolehkan pelaksanaan program ini mencapai objektif;
    • menyebar maklumat mengenai hasil R&D kepada stakeholders;
    • mempergiatkan aktiviti R&D melalui pendekatan bersepadu dengan penglibatan kepelbagaian disiplin (integrated and multidisciplinary R&D approach) yang bersesuaian dengan keadaan zon pesisiran pantai yang unik, mencabar, rapuh (fragile) dan dinamik bersama agensi/institusi dalam dan luar negara; dan
    • membantu JTPP di dalam mengesyorkan kepada Kerajaan Negeri supaya mewartakan kawasan yang telah dipelihara dan dipulihara dilindungi berasaskan penemuan R&D.
  • Kekerapan Mesyuarat

    JTRD akan mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya 2 kali setahun atau mengikut keperluan.