Accessibility Tools

  • Latar Belakang

    Pada 26 Disember 2004, bencana ombak besar atau Tsunami telah melanda kawasan di pesisiran pantai di Sumatera, Sri Lanka, India, Thailand, Myanmar, Somalia, Maldives dan kawasan utara Semenanjung Malaysia. Kesan daripada bencana Tsunami tersebut, ribuan nyawa telah terkorban dan banyak harta benda telah mengalami kemusnahan.

    Susulan daripada bencana Tsunami, Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia menyarankan kepentingan perlindungan, pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan Hutan Paya Laut di pesisiran pantai negara. Sehubungan itu, satu ‘Pasukan Petugas Khas Jawatankuasa Operasi Menanam Pokok-pokok Bakau dan Spesies-Spesies Yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara’ ditubuhkan pada Februari 2005 untuk mengawalselia program penanaman pokok-pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai di kawasan pesisiran pantai negara.

    Pelaksanaan program ini merupakan satu tanggungjawab yang mencabar dan berhadapan dengan persekitaran yang dinamik dan berisiko tinggi yang memerlukan perancangan yang rapi, peruntukan kewangan yang besar, teknologi yang bersesuaian, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersepadu serta kesedaran di kalangan masyarakat. 

    Hasil kajian ramalan tsunami di sepanjang lingkaran api Lautan India yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) mendapati beberapa kawasan pesisiran pantai negara berada dalam kategori berisiko tsunami iaitu daripada muara Sungai Kuala Kedah, Kedah hingga ke muara Sungai Dinding, Perak, pesisiran pantai barat Pulau Langkawi dan Pulau Pinang serta beberapa kawasan pesisiran pantai Terengganu dan Johor.

    Dengan mengambilkira hasil kajian tersebut, terdapat keperluan kepada perluasan skop dan hala tuju Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara dan tidak dihadkan kepada aspek penanaman pokok sahaja. Program ini harus diperluaskan kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan pesisiran pantai negara yang berisiko tsunami dengan mengambilkira usaha mengurus, memelihara dan melindungi kawasan Hutan Paya Laut yang sedia ada di seluruh negara dan fokus kepada kawasan pesisiran pantai negara yang berisiko tsunami.

  • Objektif

    Objektif penubuhan ‘Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara’ adalah untuk:

    • memastikan penubuhan sebuah Pusat Pengurusan Ekosistem Pesisiran Pantai dengan kerjasama Kementerian-Kementerian yang berkaitan;
    • memperakukan lokasi pesisiran pantai yang berisiko tsunami untuk program pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan bagi tujuan mewujudkan kawasan zon penampan;
    • memperakukan jenis pokok-pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai untuk ditanam di pesisiran pantai dan lain-lain mitigasi sebagai satu kaedah melindungi, memelihara dan memulihara ekosistem pesisiran pantai dan marin;
    • memantau dan menilai kemajuan pelaksanaan program penanaman pokok-pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai dan lain-lain mitigasi kawalan bagi mengurangkan impak bencana alam di kawasan pesisiran pantai;
    • memperakukan kumpulan sasar yang menerima faedah daripada pelaksanaan program ini; 
    • menggalakkan lebih banyak penyertaan sektor swasta, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan dalam aktiviti perlindungan, pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem pesisiran pantai; dan
    • menasihatkan Y.B. Menteri mengenai hal-hal berkaitan Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara  di Malaysia.
  • Fungsi

    Fungsi Pasukan Petugas Khas adalah seperti berikut:

    • memastikan peruntukan yang mencukupi bagi melaksanakan Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara kepada semua agensi yang terlibat;
    • mengawalselia dan meninjau kemajuan pelaksanaan Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara bagi menentukan keberkesanan pelaksanaannya di lapangan. Antaranya termasuklah:
      1. memperakukan kawasan yang boleh dipelihara dan dipulihara melalui program penanaman dan lain-lain langkah mitigasi yang sesuai;
      2. menjamin sumber bekalan biji benih yang berkualiti dan mencukupi; dan
      3. mengintegrasi pihak-pihak yang terlibat secara langsung dengan Program Pemeliharaan Dan Pemuliharaan Pesisiran Pantai Negara dalam bentuk fizikal, kepakaran dan kewangan secara lebih berkesan.
    • memperakukan teknologi bersesuaian yang boleh digunakan untuk melaksanakan Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara;
    • menyelaras isu-isu berkaitan dengan tanah bagi kawasan pelaksanaan Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara;
    • menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan pembangunan yang terlibat dengan kawasan pelaksanaan program;
    • menggalakkan Kerajaan-kerajaan Negeri untuk mewartakan kawasan yang telah dipelihara dan dipulihara dilindungi di bawah perundangan sedia ada; dan
    • menyediakan laporan lengkap kepada Y.B. Menteri mengenai status Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara di Malaysia khususnya berkaitan dengan pelaksanaannya.
  • Kekerapan Mesyuarat

    Pasukan Petugas Khas Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara akan mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya 1 kali setahun atau mengikut keperluan.

  • Carta Aliran Jawatankuasa

    Carta Aliran Jawatankuasa