Negeri Kedah:
Negeri Kedah adalah antara negeri yang mengalami kesan tragedi tsunami yang teruk dari segi sosio ekonomi. Kawasan-kawasan yang terlibat adalah di Kuala Muda dan Pulau Langkawi. Seramai 12 orang terkorban dan 27 orang lagi tercedera di Kuala Muda manakala di Langkawi hanya seorang maut akibat tsunami. Peristiwa ini juga telah menjejaskan mata pencarian serta mengakibatkan kerugian kepada 4,100 orang nelayan dan 114 orang petani.
Kesan tsunami di Kuala Muda
Negeri Pulau Pinang:
Di negeri Pulau Pinang, kawasan yang terlibat adalah di kawasan pesisiran pantai Balik Pulau, Pantai Pasir Panjang, Teluk Bahang dan Batu Feringgi. Didapati kawasan-kawasan hutan bakau tidak mengalami kemusnahan melainkan hanya terdapat kesan yang amat minima ke atas anak pokok seperti Lenggadai, Nyireh dan sebagainya yang terjejas akibat pukulan ombak serta arus air yang melimpahi kawasan hutan. Dilaporkan seramai 52 orang maut manakala 206 orang lagi tercedera di Pulau Pinang dan sekaligus mencatat angka korban tertinggi di Malaysia ekoran peristiwa tsunami. Sejumlah 2,486 orang nelayan dan 86 orang petani mengalami kerugian akibat tsunami.
Kesan tsunami di Pantai Tanjung Tokong
Negeri Perak:
Negeri Perak tidak mengalami kesan kerosakan akibat peristiwa tsunami sama ada kerosakan dari segi infrastruktur mahupun terhadap dirian hutan bakau di pesisiran pantai tetapi peristiwa ini telah mengorbankan tiga nyawa manusia.
Negeri Perlis:
Walaupun Negeri Perlis berada berhampiran dengan kejadian ombak yang besar di pesisiran pantai Phuket, Thailand, tetapi kawasan pesisiran pantai Negeri Perlis ini mengalami kesan yang lebih minima berbanding kawasan pesisiran pantai di Phuket. Tiada kematian dan kecederaan dilaporkan manakala seramai 409 orang nelayan dan seorang petani terjejas mata pencarian mereka ekoran peristiwa tsunami.