Accessibility Tools

Di peringkat nasional, satu Pasukan Petugas Khas Operasi Menanam Pokok-Pokok Bakau Dan Spesies-Spesies Yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara dibentuk di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE). Di bawah jawatankuasa ini, jawatankuasa lain telah ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Teknikal Perancangan dan Pelaksanaan dan Jawatankuasa Teknikal Penyelidikan dan Pembangunan:

Pasukan Petugas Khas Jawatankuasa Operasi Menanam Pokok-Pokok Bakau Dan Spesies-Spesies Yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara (PK-JOBPAN)

Pasukan Petugas Khas ini dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Malaysia. Jawatankuasa ini berfungsi:

  • Menetapkan hala tuju dan keperluan pelaksanaan program penanaman pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai di pesisiran pantai;
  • Menyelaraskan pelaksanaan aktiviti penanaman dan aktiviti penyelidikan oleh agensi pelaksana dan institusi penyelidikan tempatan termasuk penyertaan NGO; dan
  • Sebagai penasihat kepada Menteri mengenai hal-hal berkaitan perlindungan dan pemuliharaan ekosistem pesisiran pantai dan marin.

Jawatankuasa Teknikal Mengenai Perancangan dan Pelaksanaan (JTPP)

Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia. JTPP memainkan peranan bagi mencapai objektif yang telah digariskan oleh Pasukan Petugas Khas Operasi Menanam Pokok-Pokok Bakau Dan Spesies-Spesies Yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara. Fungsi jawatankuasa ini adalah:

  • Merancang dan menyelaras pelaksanaan serta mengetahui pencapaian penanaman pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai di pesisiran pantai negara;
  • Memantau pelaksanaan program penanaman pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai;
  • Merumuskan kaedah dan teknik tanaman yang sesuai; dan
  • Mengemukakan laporan status kemajuan pelaksanaan program kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar;

Di bawah JTPP, terdapat satu jawatankuasa kerja yang ditubuhkan untuk memastikan keberkesanan dan kelancaran pelaksanaan penanaman pokok pesisiran pantai negara.

Jawatankuasa Kerja Program Penanaman Pokok Pesisiran Pantai Negara (JKTB)

Jawatankuasa Kerja ini dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Dasar dan Perancangan) yang dianggotai oleh pegawai-pegawai pelaksana dari semua Jabatan Perhutanan Negeri termasuk Sabah dan Sarawak. Fungsi utama jawatankuasa kerja ini adalah:

  • Menilai dan mengesahkan kawasan yang sesuai untuk di tanam di negeri-negeri;
  • Mengumpul maklumat terperinci mengenai kemajuan fizikal dan perbelanjaan kewangan bagi aktiviti tanaman pokok dan penyelenggaraan di lapangan;
  • Mengenalpasti isu dan masalah pelaksanaan yang dihadapi dilapangan dan mencadangkan cara yang sesuai untuk mengatasinya; dan
  • Melaporkan maklumat terperinci kemajuan pelaksanaan program penanaman pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai di pesisiran pantai negara kepada JTPP.

Jawatankuasa Teknikal Mengenai Penyelidikan dan Pembangunan(JTR&D)

Jawatankuasa Teknikal Mengenai Penyelidikan dan Pembangunan (JTR&D) dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). Berperanan untuk menjalankan penyelidikan, mengenalpasti bekalan biji benih yang bermutu serta teknologi terkini yang boleh digunakan bagi melaksanakan aktiviti penanaman pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai di pesisiran pantai negara.

chart bakau bold