Accessibility Tools

Kawasan hutan yang wujud di sepanjang pesisiran pantai memainkan peranan yang amat penting kepada kesejahteraan penduduk pesisir yang tinggal berhampiran dengan pantai dari segi sosio ekonomi, alam sekitar dan keselamatan. Di samping itu, ianya merupakan lapisan zon semulajadi yang melindungi pesisir pantai daripada kuasa fizikal alam seperti ombak dan ribut taufan serta mencegah dan mengurangkan kadar hakisan pantai. Kawasan ini juga merupakan habitat penting kepada pelbagai flora dan fauna serta hidupan marin. Selain itu, kawasan hutan pesisiran pantai juga memainkan peranan penting sebagai penapis sampah daripada terapung di laut lepas.

Peristiwa tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 telah memberi impak yang sangat ketara kepada Malaysia dan juga dunia. Peristiwa ini juga telah membuktikan bahawa hutan pesisiran pantai memainkan peranan yang penting sebagai benteng semulajadi. Ini dikukuhkan lagi oleh satu kajian yang telah di buat oleh Tanaka pada tahun 2007, di mana kelebaran hutan pesisir pantai dapat mengurangkan kesan-kesan tsunami.