Program Penanaman Pokok Bakau Dan Spesies-Spesies Yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara tidak terhad kepada aspek penanaman pokok sahaja. Ianya juga merangkumi usaha pemeliharaan dan pemuliharaan pesisiran pantai negara yang berisiko dengan mengambil kira aspek mengurus, memelihara dan melindungi kawasan HPL sedia ada. Fokus adalah kepada kawasan pesisiran pantai yang berisiko tsunami. Objektif program adalah untuk:
- memulihara pesisiran pantai sebagai lindungan semulajadi bagi mengurangkan kemusnahan akibat kejadian alam dan hakisan tanah;
- mewujudkan zon penampan bagi menahan kekuatan ombak dan angin kencang serta mencegah pencemaran alam sekitar;
- memulihkan habitat pesisiran pantai yang menjadi koridor kepada kepelbagaian biologi serta memperkayakan sumber hasil pantai; dan
- meningkatkan kualiti alam sekitar dan nilai estetika sebagai daya tarikan pelancong.