Accessibility Tools

Hutan Paya Laut (HPL) adalah habitat semula jadi kepada pelbagai spesies flora dan fauna. Ekosistem HPL juga penting untuk menjamin kestabilan kawasan pesisiran pantai, termasuk berfungsi sebagai benteng untuk memecah, menahan dan mengurangkan daya kekuatan pukulan ombak.

Tragedi tsunami pada 26 Disember 2004 telah membuktikan peranan HPL sebagai pemecah ombak dan penstabil bagi kawasan pesisiran pantai di mana kawasan yang mempunyai HPL yang luas dan padat didapati mengalami kemusnahan dan kerosakan yang minimum. Menyedari kepentingan HPL kepada kestabilan ekosistem kawasan pesisiran pantai, Kerajaan Malaysia sangat komited dalam menguruskan HPL secara berkekalan.

Majlis Biodiversiti-Bioteknologi Negara (MBBN) Ke-4 pada 13 Januari 2005 telah memutuskan agar semua Kerajaan Negeri dan NRE mengambil inisiatif untuk memelihara dan memulihara ekosistem HPL. Selaras dengan keputusan tersebut, NRE menubuhkan ‘Pasukan Petugas Khas Jawatankuasa Operasi Menanam Pokok Bakau dan Spesies Yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara’ (Pasukan Petugas) pada 7 Februari 2005. Pasukan Petugas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha NRE berfungsi untuk menentukan hala tuju dan menyelaras pelaksanaan program ini melalui pendekatan secara bersepadu.

Tiga Jawatankuasa Teknikal telah dibentuk di bawah Pasukan Petugas tersebut iaitu: Jawatankuasa Teknikal Mengenai Perancangan dan Pelaksanaan (JTPP) yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM); Jawatankuasa Teknikal Mengenai Penyelidikan dan Pembangunan (JTRD) yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM); dan Jawatankuasa Teknikal Pemantauan (JTP) yang dipengerusikan oleh Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan (BBP), NRE.

Pelaksanaan program ini merupakan satu tanggungjawab yang mencabar kerana persekitaran pesisiran pantai yang dinamik dan berisiko tinggi. Pelaksanaannya memerlukan perancangan yang rapi, peruntukan kewangan yang besar, teknologi yang bersesuaian, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersepadu serta kesedaran di kalangan masyarakat.